Wednesday, July 17, 2013

NEWSPAPER ARTICLE: MENGIMPIKAN PEMBANTU RUMAH TEMPATAN

REFERENCE:

Khairunneezam, M.N. (2007), 'Mengimpikan Pembantu Rumah Tempatan', Utusan Malaysia, Kuala Lumpur: Utusan Melayu (M) Berhad. 



TAJUK: MENGIMPIKAN PEMBANTU RUMAH TEMPATAN 
(*Boleh click pada tajuk untuk ke sumber online di Utusan Malaysia)




         Di dalam alaf baru yang serba moden ini, sudah menjadi lumrah bagi pasangan suami isteri mempunyai kerjaya masing-masing. Ini adalah hasil kejayaan sistem pentadbiran dan pendidikan negara yang telah mewujudkan masyarakat Malaysia berpengetahuan tinggi. Lantaran tanggungjawab mencari nafkah untuk keluarga telah dipikul secara kolektif, maka masa untuk menguruskan rumahtangga menjadi minimum. Ianya lebih terasa bagi pasangan yang telah mempunyai anak-anak. Untuk itu, menggaji pembantu rumah adalah jalan penyelesaian yang paling tepat dan popular. Oleh kerana kurangnya sambutan rakyat tempatan untuk menjadi pembantu rumah, maka banyaklah di antara mereka yang mendapatkan bantuan agensi pembantu rumah warga asing terutamanya dari Indonesia dan Filipina. Di samping kos menguruskan dan menggaji yang murah, pembantu rumah warga asing ini diyakini akan kemahiran dan kesetiaannya. Dan menurut statistik terkini, di seluruh negara terdapat tidak kurang 330,000 pembantu rumah asing yang majoritinya adalah warga Indonesia .


            Namun, apa yang berlaku sejak beberapa tahun ini, pembantu rumah warga asing ini telah acapkali menimbulkan isu-isu negatif dan membimbangkan. Ada di antara mereka melarikan diri daripada majikan, alasannya kerana didera secara fizikal atau mental. Ada juga yang menghilangkan diri bersama-sama dengan hasil pencurian harta benda milik majikan.


            Wujud juga isu di mana agensi pembekal pembantu rumah warga asing yang menipu para majikan. Jaminan palsu bahawa pembantu rumah yang dibekalkan tinggi kemahiran kendirinya tak ubah seperti ‘indah khabar dari rupa’. Mereka juga berani meletakkan harga yang tinggi untuk mendapatkan seseorang pembantu rumah. Hakikatnya, ada di antara pembantu rumah yang ditawarkan adalah terlalu muda, buta huruf, tidak pandai membuat kerja-kerja rumah dan tidak arif berbahasa Melayu dan Inggeris. Wajarlah mereka ini dikategorikan oleh Presiden Persatuan Agensi Pekerja Asing (PAPA), Datuk Raja Zulkepley Dahalan sebagai pembantu rumah Kelas ‘E’. Bagi majikan mendapat pembantu rumah kelas ‘E’ ini, biarpun gaji bulanan yang diberi hanyalah sekitar RM400, namun jika komunikasi mudah pun tidak mampu difahami dan dipatuhi, maka perasaan tertipu dan berang itu sangat-sangat dirasai.             
       Bagi meredakan isu penipuan pembekalan pembantu rumah warga asing ini, kerajaan telah menyenaraihitamkan sebanyak 19 agensi pembekal pembantu rumah dari Indonesia . Ia adalah langkah bijak kerajaan untuk mengelakkan lebih ramai lagi rakyat Malaysia yang mahukan perkhidmatan sedemikian tertipu pada masa hadapan. Sebagai langkah penyelesaian alternatif, Kementerian Sumber Manusia telah menggalakkan Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) untuk menawarkan modul latihan pembantu rumah di pusat-pusat latihan mereka. Modul latihan ini mengkhusus kepada warga tempatan yang berminat untuk mendalami karier sebagai pembantu rumah.


            Selain itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar baru-baru ini telah mengumumkan bahawa kementeriannya akan membekalkan silibus dan tenaga pengajar untuk pihak swasta melatih warga tempatan sebagai pembantu rumah.  Ujarnya lagi, pihak swasta perlu mengambil inisiatif menyediakan pusat latihan tersebut bagi membolehkan warga tempatan mengisi keperluan lebih 100,000 pembantu rumah di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).


            Langkah bijak kerajaan ini mempunyai rasionalnya. Pembantu rumah tempatan adalah lebih arif tentang selok belok budaya dan norma masyarakat Malaysia . Maka, minimumlah masalah komunikasi di antara pembantu rumah ini dengan bakal majikan mereka. Mendapatkan pembantu rumah tempatan kelak turut menjadi lebih mudah. Bakal majikan tidak perlu memkirkan urusan dokumentasi seperti visa dan passport dan menjimatkan pelbagai kos. Isu-isu seperti majikan yang tertipu juga dapat dielakkan kerana kebolehpercayaan yang lebih tinggi ada pada pembantu rumah tempatan. Selain itu, usaha sebegini menjadi alternatif pekerjaan yang menarik bagi rakyat tempatan selain daripada pilihan kerjaya sebagai operator pengeluaran di kilang, pelayan di pasaraya dan sebagainya.


            Daripada perspektif sosio-ekonomi negara pula, aliran keluar mata wang negara dapat diminimumkan bahkan digunakan untuk menjana pembangunan domestik. Negara juga berupaya meningkatkan penggunaan sumber manusia tempatan, mengurangkan kadar pengangguran dan meminimumkan import tenaga kerja luar negara. Dan jika strategi melatih dan mewujudkan golongan pembantu rumah warga tempatan ini dijana dengan sebaiknya, tidak mustahil Malaysia mampu mengeksport pembantu rumah tempatan untuk pasaran di luar negara.  


            Bagi merealisasikan penghasilan tenaga pembantu rumah yang berkualiti tinggi, berikut adalah beberapa saranan yang difikirkan wajar untuk diperhalusi oleh pihak kerajaan dan agensi yang terbabit. Pertamanya, bakal pembantu rumah diberikan latihan asas yang secukupnya seperti kemahiran memasak, mengemas rumah, penjagaan bayi dan kanak-kanak, dan sebagainya. Keduanya, memberikan latihan menghadapi situasi tak terduga seperti latihan pertolongan cemas, kaedah mengawal kebakaran, kes rompakan, dan sebagainya. 


            Ketiganya, mereka perlu didedahkan dengan pengetahuan am dan perundangan seperti kontrak pekerjaan dan hak perundangan, gangguan seksual di tempat kerja, penderaan dan seumpamanya. Ianya membantu memberi kefahaman kepada mereka tentang hak mereka dan bakal majikan di sisi undang-undang. Ia juga berfungsi dalam memandu arah tentang tindakan susulan yang wajar diambil jika berlaku sebarang kes yang tidak diingini


            Keempatnya, kerajaan perlu memastikan bahawa agensi yang menyalurkan tenaga pembantu rumah tempatan ini kelak menyelaraskan kesesuaian pembantu rumah dengan bakal majikan dari pelbagai aspek terutama yang melibatkan sensitiviti keagamaan dan kebudayaan. Ianya adalah untuk mengelakkan anasir-anasir ketidakadilan, bias, dan tindakan di luar norma dan batasan keagamaan dan adat resam sesuatu bangsa.


            Kelimanya, untuk menjadikan karier pembantu rumah adalah menarik di kalangan warga tempatan, disarankan agar kadar gaji dan kemudahan-kemudahan sampingan seperti hak cuti tahunan, cuti sakit dan sebagainya dikaji sebaik mungkin. Kadar gaji yang diberikan perlulah diseragamkan dan menarik untuk bakal pembantu rumah tempatan dan bersesuaian dengan kemampuan bakal majikan.


            Apa yang penting adalah usaha membuka ruang kepada warga tempatan untuk menceburi karier sebagai pembantu rumah ini akan menjadi penyelesaian paling jitu terhadap pelbagai isu yang berkaitan. Syaratnya, usaha murni kerajaan ini disahut dengan nada positif dan bersungguh-sungguh oleh agensi pembekal pekerja terutamanya di sektor swasta. Adalah diyakini jika betul dan sistematik pelaksanaan latihan pembantu rumah ini kelak, maka para majikan akan dapat memperoleh pembantu rumah yang profesional, berkemahiran tinggi, berdisiplin, dan memiliki kelas ‘A’.

NEWSPAPER ARTICLE: MENGINTEGRASI PENSYARAH, INDUSTRI

REFERENCE:

Khairunneezam, M.N. (2007), 'Mengintegrasi Pensyarah, Universiti', Utusan Malaysia, Kuala Lumpur: Utusan Melayu (M) Berhad. 


Tajuk: MENGINTEGRASI PENSYARAH, UNIVERSITI (*Boleh click pada tajuk untuk ke sumber online di Utusan Malaysia)

Acap kali kita mendengar isu siswazah universiti yang tidak memiliki tahap pengetahuan dan kemahiran yang diharapkan oleh industri. Secara zahirnya seolah-olah siswazah sendiri yang bersalah kerana tidak kompetitif dan tidak cukup berkemahiran. Lantaran itu, siswazah juga yang terpaksa menanggung kesan kesukaran mendapatkan kerja, dek kerana tiada sesiapa yang berminat dengan segulung ijazah dan resume yang diusung ke hulu ke hilir. Masyarakat umumnya perlu faham bahawa ada pihak-pihak lain yang perlu jua dipertanggungjawabkan di atas isu ini. Pada pandangan saya, universiti dan pensyarah memainkan peranan penting untuk mengatasi permasalahan yang ditanggung siswazah ini.

Saya sangat tertarik kepada laporan akhbar Utusan Malaysia tentang cadangan Datuk Mustapha Mohamed, Menteri Pengajian Tinggi baru-baru ini. Beliau telah menyarankan agar para pensyarah di institusi pengajian tinggi membuat latihan praktikal di industri. Ini merupakan bukti bahawa kerajaan benar-benar serius untuk memartabatkan kecemerlangan dan kualiti para pensyarah dan institusi pengajian tinggi di Malaysia. Pelaksanaan cadangan ini akan menjadi satu titik tolak yang sangat bermakna bagi meningkatkan kredibiliti siswazah yang akan dihasilkan sesebuah universiti sejajar dengan kehendak pasaran semasa.
Selain itu, usaha mengintegrasikan pensyarah universiti dengan industri melalui latihan praktikal sebegini adalah satu strategi bersifat serampang dua mata. Bak kata pepatah sambil berdiang nasi masak, ia dianggap pembuka mata dan perspektif pensyarah tentang perkembangan semasa di industri. Tidak disangkal, pensyarah universiti di mata masyarakat adalah golongan bijak pandai yang sarat dengan ilmu pengetahuan di dada mengikut bidang dan kepakaran masing-masing. Pensyarah universiti menjadi sumber rujukan untuk penyelesaian bagi sebarang isu semasa yang timbul berkaitan dengan bidang mereka. Pun begitu, mereka masih perlu mendalami praktis dan perkembangan sebenar ilmu tersebut di dalam industri. Kepesatan dan pembangunan di dalam industri kadang kala menyebabkan teori-teori dan ilmu yang dimiliki dan diajar di universiti menjadi lapuk ditelan zaman. Akhirnya, kualiti pembelajaran yang diterima oleh para pelajar turut ketinggalan. Natijahnya, kesan buruk ditanggung siswazah kerana kurangnya pengetahuan dan kemahiran yang diharapkan industri. Justeru, cadangan untuk ahli akademik universiti bergelumang dan menyertai industri secara ‘hands-on’ adalah sangat wajar dan perlu disahut dengan nada yang positif di kalangan mereka.

Penglibatan di dalam latihan praktikal di industri bukanlah satu trend atau fenomena asing di kalangan pensyarah universiti di negara-negara lain. Ternyata ianya menjadi ‘budaya akademik’ yang utama bagi mereka selain daripada mengendalikan kuliah dan penyelidikan semata-mata. Begitu jua dengan sebilangan kecil pensyarah di universiti tempatan yang bijak mengambil inisiatif menyertai industri untuk memantapkan pengetahuan mereka. Namun, masih jua perlu ada kesedaran bersifat kolektif di kalangan semua pensyarah untuk berbuat sedemikian. Perbualan bersama dua orang penyelia PhD saya baru-baru ini turut berkisar kepada isu pensyarah dan latihan praktikal. Mereka berpendapat, masih wujud jurang pemisah di antara nilai ilmu yang diajar di universiti dengan perkembangan pengetahuan di lapangan industri. Pensyarah sendiri perlu maklum bahawa kandungan pengajaran yang disampaikan kepada pelajar itu masih relevan atau tidak dengan perkembangan dan keperluan semasa. Mereka berseloroh, ‘takkan kita masih nak mengajar silibus bagaimana membina sebuah kapal terbang kertas, sedangkan manusia sudah mampu menjejakkan kaki di bulan’? Mereka menambah lagi bahawa untuk mengurangkan dan menghilangkan jurang sebegini, ahli akademik bertanggungjawab menyingsing lengan dan ‘turun ke padang’ dengan menyertai aktiviti di industri. Mereka perlu lihat sendiri apa yang sebenarnya wujud di lapangan industri.

Contohya pensyarah bidang pengurusan sumber manusia yang menyertai latihan industri akan mengetahui sistem pengurusan yang digunapakai oleh sesebuah organisasi dalam mentadbir para pekerja. Bagi pensyarah kejuruteraan pula, pasti akan dapat memahami penggunaan jentera, perisian atau teknologi mutakhir yang diaplikasi dalam industri.


Keleher dan Toft (2006) di dalam prosiding bertajuk ‘Practitioner and academia partnerships: establishing meaningful and relevant postgraduate learning experiences’ yang dibentangkan dalam Seminar Australasian Association for Engineering Education (AAEE) di Auckland baru-baru ini, turut memfokuskan keperluan ahli akademik mendasari perkembangan di industri. Prosiding mereka ini menggagaskan bahawa pertamanya, kerjasama ahli akademik dan industri perlu dipupuk erat ibarat ‘aur dengan tebing’. Keduanya, kerjasama sebegini akan mewujudkan perkongsian pintar di antara universiti dan industri. Ahli akademik di universiti membantu industri memajukan produk mereka melalui program penyelidikan dan pembangunan. Manakala industri menyediakan ruang seluas-luasnya untuk ahli akademik mendasari dan mengembangluaskan nilai-nilai ilmu pengetahuan mereka.

Perkongsian pintar sebeginilah yang ditegaskan oleh Datuk Kong Cho Ha, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dalam ucapannya kepada media baru-baru ini. Beliau mengandaikan terdapat kewajaran untuk institusi pengajian tinggi dan industri bekerjasama menggubal kurikulum kursus yang ditawarkan supaya pengisiannya memenuhi keperluan industri.

Apa yang pasti, usaha kerajaan menggalakkan pensyarah universiti untuk melihat sendiri dunia sebenar di dalam industri perlu dilihat dari perspektif yang terbuka. Pun begitu, penglibatan di dalam industri melalui latihan praktikal sebegini mesti diselaraskan dengan bijak dan adil, umpama menarik rambut di dalam tepung. Umum sedia maklum bahawa pensyarah universiti sudah sarat dengan tanggungjawabnya yang pelbagai bukan sahaja kepada para pelajar dan universiti, malah kepada agama, bangsa dan negara. Jika sesuatu tanggungjawab yang baru hendak diberikan, ada kewajarannya untuk diteliti dan diperhalusi sebaiknya supaya mereka tidak merasa terbeban. Mungkin elok juga jika dicadangkan latihan praktikal oleh pensyarah universiti ini nanti dijadikan salah satu indikator yang diambil kira untuk tujuan sasaran kerja tahunan atau penilaian prestasi semasa mereka. Kepada pensyarah universiti pula, sedarlah bahawa usaha mengintegasikan diri dengan industri mempunyai nilai tambah yang sangat relevan untuk memantapkan kualiti akademik anda sendiri.

Tepuklah dada, tanyalah selera!