Khairunneezam, M.N. (2007), 'Mengintegrasi Pensyarah, Universiti', Utusan Malaysia, Kuala Lumpur: Utusan Melayu (M) Berhad.
Tajuk: MENGINTEGRASI PENSYARAH, UNIVERSITI (*Boleh click pada tajuk untuk ke sumber online di Utusan Malaysia)

Saya sangat tertarik kepada laporan akhbar Utusan Malaysia tentang cadangan Datuk Mustapha Mohamed, Menteri Pengajian Tinggi baru-baru ini. Beliau telah menyarankan agar para pensyarah di institusi pengajian tinggi membuat latihan praktikal di industri. Ini merupakan bukti bahawa kerajaan benar-benar serius untuk memartabatkan kecemerlangan dan kualiti para pensyarah dan institusi pengajian tinggi di Malaysia. Pelaksanaan cadangan ini akan menjadi satu titik tolak yang sangat bermakna bagi meningkatkan kredibiliti siswazah yang akan dihasilkan sesebuah universiti sejajar dengan kehendak pasaran semasa.
Selain itu, usaha mengintegrasikan pensyarah universiti dengan industri melalui latihan praktikal sebegini adalah satu strategi bersifat serampang dua mata. Bak kata pepatah sambil berdiang nasi masak, ia dianggap pembuka mata dan perspektif pensyarah tentang perkembangan semasa di industri. Tidak disangkal, pensyarah universiti di mata masyarakat adalah golongan bijak pandai yang sarat dengan ilmu pengetahuan di dada mengikut bidang dan kepakaran masing-masing. Pensyarah universiti menjadi sumber rujukan untuk penyelesaian bagi sebarang isu semasa yang timbul berkaitan dengan bidang mereka. Pun begitu, mereka masih perlu mendalami praktis dan perkembangan sebenar ilmu tersebut di dalam industri. Kepesatan dan pembangunan di dalam industri kadang kala menyebabkan teori-teori dan ilmu yang dimiliki dan diajar di universiti menjadi lapuk ditelan zaman. Akhirnya, kualiti pembelajaran yang diterima oleh para pelajar turut ketinggalan. Natijahnya, kesan buruk ditanggung siswazah kerana kurangnya pengetahuan dan kemahiran yang diharapkan industri. Justeru, cadangan untuk ahli akademik universiti bergelumang dan menyertai industri secara ‘hands-on’ adalah sangat wajar dan perlu disahut dengan nada yang positif di kalangan mereka.
Penglibatan di dalam latihan praktikal di industri bukanlah satu trend atau fenomena asing di kalangan pensyarah universiti di negara-negara lain. Ternyata ianya menjadi ‘budaya akademik’ yang utama bagi mereka selain daripada mengendalikan kuliah dan penyelidikan semata-mata. Begitu jua dengan sebilangan kecil pensyarah di universiti tempatan yang bijak mengambil inisiatif menyertai industri untuk memantapkan pengetahuan mereka. Namun, masih jua perlu ada kesedaran bersifat kolektif di kalangan semua pensyarah untuk berbuat sedemikian. Perbualan bersama dua orang penyelia PhD saya baru-baru ini turut berkisar kepada isu pensyarah dan latihan praktikal. Mereka berpendapat, masih wujud jurang pemisah di antara nilai ilmu yang diajar di universiti dengan perkembangan pengetahuan di lapangan industri. Pensyarah sendiri perlu maklum bahawa kandungan pengajaran yang disampaikan kepada pelajar itu masih relevan atau tidak dengan perkembangan dan keperluan semasa. Mereka berseloroh, ‘takkan kita masih nak mengajar silibus bagaimana membina sebuah kapal terbang kertas, sedangkan manusia sudah mampu menjejakkan kaki di bulan’? Mereka menambah lagi bahawa untuk mengurangkan dan menghilangkan jurang sebegini, ahli akademik bertanggungjawab menyingsing lengan dan ‘turun ke padang’ dengan menyertai aktiviti di industri. Mereka perlu lihat sendiri apa yang sebenarnya wujud di lapangan industri.
Contohya pensyarah bidang pengurusan sumber manusia yang menyertai latihan industri akan mengetahui sistem pengurusan yang digunapakai oleh sesebuah organisasi dalam mentadbir para pekerja. Bagi pensyarah kejuruteraan pula, pasti akan dapat memahami penggunaan jentera, perisian atau teknologi mutakhir yang diaplikasi dalam industri.

Perkongsian pintar sebeginilah yang ditegaskan oleh Datuk Kong Cho Ha, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dalam ucapannya kepada media baru-baru ini. Beliau mengandaikan terdapat kewajaran untuk institusi pengajian tinggi dan industri bekerjasama menggubal kurikulum kursus yang ditawarkan supaya pengisiannya memenuhi keperluan industri.
Apa yang pasti, usaha kerajaan menggalakkan pensyarah universiti untuk melihat sendiri dunia sebenar di dalam industri perlu dilihat dari perspektif yang terbuka. Pun begitu, penglibatan di dalam industri melalui latihan praktikal sebegini mesti diselaraskan dengan bijak dan adil, umpama menarik rambut di dalam tepung. Umum sedia maklum bahawa pensyarah universiti sudah sarat dengan tanggungjawabnya yang pelbagai bukan sahaja kepada para pelajar dan universiti, malah kepada agama, bangsa dan negara. Jika sesuatu tanggungjawab yang baru hendak diberikan, ada kewajarannya untuk diteliti dan diperhalusi sebaiknya supaya mereka tidak merasa terbeban. Mungkin elok juga jika dicadangkan latihan praktikal oleh pensyarah universiti ini nanti dijadikan salah satu indikator yang diambil kira untuk tujuan sasaran kerja tahunan atau penilaian prestasi semasa mereka. Kepada pensyarah universiti pula, sedarlah bahawa usaha mengintegasikan diri dengan industri mempunyai nilai tambah yang sangat relevan untuk memantapkan kualiti akademik anda sendiri.
Tepuklah dada, tanyalah selera!
No comments:
Post a Comment