Khairunneezam, M.N. (2007), 'Mengimpikan Pembantu Rumah Tempatan', Utusan Malaysia, Kuala Lumpur: Utusan Melayu (M) Berhad.
TAJUK: MENGIMPIKAN PEMBANTU RUMAH TEMPATAN
(*Boleh click pada tajuk untuk ke sumber online di Utusan Malaysia)
Di
dalam alaf baru yang serba moden ini, sudah menjadi lumrah bagi
pasangan suami isteri mempunyai kerjaya masing-masing. Ini adalah hasil
kejayaan sistem pentadbiran dan pendidikan negara yang telah mewujudkan
masyarakat
Malaysia berpengetahuan tinggi. Lantaran tanggungjawab mencari nafkah
untuk keluarga telah dipikul secara kolektif, maka masa untuk
menguruskan rumahtangga menjadi minimum. Ianya lebih terasa bagi
pasangan yang telah mempunyai anak-anak. Untuk itu, menggaji pembantu
rumah adalah jalan penyelesaian yang paling tepat dan popular. Oleh
kerana kurangnya sambutan rakyat tempatan untuk menjadi pembantu rumah,
maka banyaklah di antara mereka yang mendapatkan bantuan agensi pembantu
rumah warga asing terutamanya dari Indonesia dan Filipina. Di samping
kos menguruskan dan menggaji yang murah, pembantu rumah warga asing ini
diyakini akan kemahiran dan kesetiaannya. Dan menurut statistik terkini,
di seluruh negara terdapat tidak kurang 330,000 pembantu rumah asing
yang
majoritinya adalah warga Indonesia .
Namun,
apa yang berlaku sejak beberapa tahun ini, pembantu rumah warga asing
ini telah acapkali menimbulkan isu-isu negatif dan membimbangkan. Ada di
antara mereka melarikan diri daripada majikan, alasannya kerana didera
secara fizikal atau mental. Ada juga yang menghilangkan diri
bersama-sama dengan hasil pencurian harta benda milik majikan.
Wujud juga isu di mana agensi pembekal pembantu rumah warga asing yang menipu para majikan.
Jaminan palsu bahawa pembantu rumah yang dibekalkan tinggi kemahiran
kendirinya tak ubah seperti ‘indah khabar dari rupa’. Mereka juga berani
meletakkan harga yang tinggi untuk mendapatkan seseorang pembantu
rumah. Hakikatnya, ada di antara pembantu rumah yang ditawarkan adalah
terlalu muda, buta huruf, tidak pandai membuat kerja-kerja rumah dan
tidak arif berbahasa Melayu dan Inggeris. Wajarlah mereka ini
dikategorikan oleh Presiden Persatuan Agensi Pekerja Asing (PAPA), Datuk
Raja Zulkepley Dahalan sebagai pembantu rumah Kelas ‘E’. Bagi majikan
mendapat pembantu rumah kelas ‘E’ ini, biarpun gaji bulanan yang diberi
hanyalah sekitar RM400, namun jika komunikasi mudah pun tidak mampu
difahami dan dipatuhi, maka perasaan tertipu dan berang itu
sangat-sangat dirasai.
Bagi meredakan isu penipuan
pembekalan pembantu rumah warga asing ini, kerajaan telah
menyenaraihitamkan sebanyak 19 agensi pembekal pembantu rumah dari
Indonesia . Ia adalah langkah bijak kerajaan untuk mengelakkan lebih
ramai lagi rakyat Malaysia yang mahukan perkhidmatan sedemikian tertipu
pada masa hadapan. Sebagai langkah penyelesaian alternatif, Kementerian
Sumber Manusia telah menggalakkan Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan
(MLVK) untuk menawarkan modul latihan pembantu rumah di pusat-pusat
latihan mereka. Modul latihan ini mengkhusus kepada warga tempatan yang
berminat untuk mendalami karier sebagai pembantu rumah.
Selain
itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar
baru-baru ini telah mengumumkan bahawa kementeriannya akan membekalkan
silibus dan tenaga pengajar untuk pihak swasta melatih warga tempatan
sebagai pembantu rumah. Ujarnya lagi, pihak
swasta perlu mengambil inisiatif menyediakan pusat latihan tersebut bagi
membolehkan warga tempatan mengisi keperluan lebih 100,000 pembantu
rumah di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Langkah
bijak kerajaan ini mempunyai rasionalnya. Pembantu
rumah tempatan adalah lebih arif tentang selok belok budaya dan norma
masyarakat Malaysia . Maka, minimumlah masalah komunikasi di antara
pembantu rumah ini dengan bakal majikan mereka. Mendapatkan pembantu
rumah tempatan kelak turut menjadi lebih mudah. Bakal majikan tidak
perlu memkirkan urusan dokumentasi seperti visa dan passport dan
menjimatkan pelbagai kos. Isu-isu seperti majikan yang tertipu juga
dapat dielakkan kerana kebolehpercayaan yang lebih tinggi ada pada
pembantu rumah tempatan. Selain itu, usaha sebegini menjadi alternatif
pekerjaan yang menarik bagi rakyat tempatan selain daripada pilihan
kerjaya sebagai operator pengeluaran di kilang, pelayan di pasaraya dan
sebagainya.
Daripada perspektif sosio-ekonomi negara pula,
aliran keluar mata wang negara dapat diminimumkan bahkan digunakan untuk
menjana pembangunan domestik. Negara juga berupaya meningkatkan
penggunaan sumber manusia tempatan, mengurangkan kadar pengangguran dan
meminimumkan import tenaga kerja luar negara. Dan jika strategi melatih
dan mewujudkan golongan pembantu rumah warga tempatan ini dijana dengan
sebaiknya, tidak mustahil Malaysia mampu mengeksport pembantu rumah
tempatan untuk pasaran di luar negara.
Bagi
merealisasikan penghasilan tenaga pembantu rumah yang berkualiti
tinggi, berikut adalah beberapa saranan yang difikirkan wajar untuk
diperhalusi oleh pihak kerajaan dan agensi yang terbabit. Pertamanya,
bakal pembantu rumah diberikan latihan asas yang secukupnya seperti
kemahiran memasak, mengemas rumah, penjagaan bayi dan kanak-kanak, dan
sebagainya. Keduanya, memberikan latihan menghadapi situasi tak terduga
seperti latihan pertolongan cemas, kaedah mengawal kebakaran, kes
rompakan, dan sebagainya.
Ketiganya,
mereka perlu didedahkan dengan pengetahuan am dan perundangan seperti
kontrak pekerjaan dan hak perundangan, gangguan seksual di tempat kerja,
penderaan dan
seumpamanya. Ianya membantu memberi kefahaman kepada mereka tentang hak
mereka dan bakal majikan di sisi undang-undang. Ia juga berfungsi dalam
memandu arah tentang tindakan susulan yang wajar diambil jika berlaku
sebarang kes yang tidak diingini
Keempatnya,
kerajaan perlu memastikan bahawa agensi yang menyalurkan tenaga
pembantu rumah tempatan ini kelak menyelaraskan kesesuaian pembantu
rumah dengan bakal majikan dari pelbagai aspek terutama yang melibatkan
sensitiviti keagamaan dan kebudayaan. Ianya adalah untuk mengelakkan
anasir-anasir ketidakadilan, bias, dan tindakan di luar norma dan
batasan keagamaan dan adat resam sesuatu bangsa.
Kelimanya,
untuk menjadikan karier pembantu rumah adalah menarik di kalangan warga
tempatan, disarankan agar kadar gaji dan kemudahan-kemudahan sampingan
seperti hak cuti tahunan, cuti sakit dan sebagainya dikaji sebaik
mungkin. Kadar gaji yang diberikan perlulah diseragamkan dan menarik
untuk bakal pembantu rumah tempatan dan bersesuaian dengan kemampuan
bakal majikan.
Apa
yang penting adalah usaha membuka ruang kepada warga tempatan untuk
menceburi karier sebagai pembantu rumah ini akan menjadi penyelesaian
paling jitu terhadap pelbagai isu yang
berkaitan. Syaratnya, usaha murni kerajaan ini disahut dengan nada
positif dan bersungguh-sungguh oleh agensi pembekal pekerja terutamanya
di sektor swasta. Adalah diyakini jika betul dan sistematik pelaksanaan
latihan pembantu rumah ini kelak, maka para majikan akan dapat
memperoleh pembantu rumah yang profesional, berkemahiran tinggi,
berdisiplin, dan memiliki kelas ‘A’.
No comments:
Post a Comment